Dec 19
Pakej makanan pulih industri pelancongan
KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin fokus terhadap makanan mampu menyuntik pembaharuan bagi memulihkan sektor pelancongan negara yang merosot akibat penularan wabak Influenza A H1N1, kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.
Katanya, walaupun World Tourism Organization (WTO) mengumumkan sektor pelancongan Malaysia dan antarabangsa menurun tujuh peratus, promosi pakej makanan negara diyakini mampu mengatasi penurunan itu.
Industri pelancongan bukan saja di Malaysia tetapi seluruh dunia merosot. Jika keadaan ini tidak diisi dengan program inovasi, ia akan memburukkan lagi keadaan. Jadi, tahun ini kita fokus pada pakej makanan.
Di mana-mana saja di Malaysia pelbagai jenis makanan boleh didapati dengan mudah, soalnya bagaimana kita hendak mempakej variasi makanan ini, bukan saja untuk menggalakkan pelancongan asing tetapi juga domestik, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Makanan Malaysia Fabulous Food 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.
Kami menganggarkan tahun lalu secara purata pelancong asing membelanjakan 18.5 peratus daripada perbelanjaan mereka untuk makanan dan minuman dan yakin dengan penganjuran karnival Fabulous Food 1Malaysia ini, ia akan meningkat minimum 10 peratus, katanya.
Katanya, kementerian juga melancarkan lawan web khusus iaitu www.fabfood1malaysia.com bagi membolehkan masyarakat berkongsi restoran terbaik yang menyediakan tiga menu popular, iaitu laksa, nasi lemak dan bak kut teh (halal dan tidak halal).
Selain itu, Dr Ng berkata, sebuah buku bertajuk Malaysia Best Taste Series menyenaraikan 50 kedai yang menghidangkan tiga menu paling lazat berkenaan akan turut diterbitkan tahun depan untuk rujukan penggemar makanan terbabit.
Ini satu cara kementerian mengenalpasti dan mengumpul data jumlah sebenar pengusaha makanan yang beroperasi. Sejak dilancarkan 3 Disember lalu, laman web ini dilayari 18,000 pelawat dari dalam dan luar negara, katanya
Katanya, apabila tempoh kaji selidik itu berakhir 30 Januari depan, pemilihan kedai terbaik yang menghidangkan tiga menu berkenaan akan dibuat berdasarkan enam kriteria rasa, inovasi, kebersihan, harga, sikap pengendali dan suasana tempat makan berkenaan.
Senarai ini akan disemak semula setiap tahun bagi memastikan pengusaha mengekalkan ketinggian standard masing-masing, katanya.
No responses yet News Section